artikel ini dipetik daripada: http://langitilahi.com/11121
Kritikan Sosial: Hujah Penolakan Tiada Istilah Jihad di Gaza
~yang ditanya bukan natijah, tetapi usaha untuk merubah~
(picture by IbnuFuad of LangitIlahi)
Semalam ada seseorang minta saya ulas isu berkenaan seorang ustaz yang menyatakan bahawa “tiada jihad di Gaza” dan beberapa pandangan yang berlainan dari kebiasaan. Kepelbagaian pandangan itu adalah perlu dan ia diterima selagi mana ada dalil yang tepat mengukuhkan hujah masing-masing.
Cuma bagi pendapat saya ada perkara yang kurang sesuai diketengahkan kepada masyarakat. Adapun saya mengkritik mereka bukan kerana saya orang paling berilmu tetapi atas amanah ilmu sekadar yang saya tahu yang agak berlainan sisi pandangan, justeru saya menulis artikel ini sekadar kemampuan.
Namun, mereka-mereka yang berada dalam video tersebut atau seangkatan dengannya merupakan orang yang celik ilmu, tetapi agak tersasar dari segi pertimbangan. Beberapa perkara yang cuba saya gariskan berdasarkan video tersebut dan saya rasa perlu diperbetulkan adalah:
1- Jihad sepertimana yang disebutkan di dalam Al-Quran perlu menepati syarat bahawa musuh tidak boleh lebih dua kali ganda dari tentera Islam. Jika lebih yang membawa maksud kekurangan tentera di pihak Islam maka tiada istilah jihad seperti yang berlaku di Palestin sekarang. Disebutkan secara jelas jika musuh 200 tentera islam perlu lebih dari 100 berdasarkan dalil dari firman Allah s.w.t bersama tafsir dari Ibn Kathir:
Maksudnya : Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.(AL-Anfal:66)
Berkata Ibn Katsir rahimahullah : Jika umat Islam adalah separuh daripada jumlah musuh maka tidak dibenarkan bagi mereka melarikan diri daripada musuh (yakni wajib diperangi) manakala jika selain daripada sedemikian (yakni umat Islam kurang daripada separuh) maka tidak diwajibkan ke atas mereka memerangi musuh dan dibenarkan bagi mereka menjauhkan diri dari musuh.
Hujah saya: Saya mengambil ayat dari surah yang sama dan merujuk dari rujukan yang sama untuk menjelaskan pandangan saya. Ayat itu berserta tafsiran menyatakan bahawa:
Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.(Al-Anfal:64)
Dalam menafsirkan ayat ini Ibn Kathir menyebutkan:
Cukuplah ke atas kamu bantuan Allah dan orang-orang beriman yang mengikuti kamu meskipun bilangannya sedikit.
Ayat ini dikuatkan lagi dengan sirah Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar yang merupakan peperangan pertama terbesar umat islam. Adapun bilangan tentera islam hanyalah 313 berbanding 1000 orang tentera musuh. Dan adakah 14 orang yang islam yang meninggal dalam peperangan tersebut tidak dikira syahid kerana ia bukan sebahagian daripada jihad disebabkan bilangan yang kurang?
Benar dalam tafsir ibn kathir menyebutkn tafsiran ayat 66 seperti yang disebutkan diatas. Cuma jika dilihat lebih teliti ia adalah keringanan Allah terhadap tentera islam yang tidak berkemampuan berkenaan dengan bilangan yang diwajibkan terlebih dahulu. Adapun jika bilangan melebihi separuh wajib teruskan perjuangan dan jika sebaliknya bisa menjauhi diri dari musuh juga betul.
Persoalan yang saya ingin timbulkan disini, adakah keringanan itu yang mempengaruhi kewajipan tentera islam berperang juga merupakan syarat menunjukkan bahawa jihad itu diiktiraf? Bagi saya tidak kerana sirah yang saya bawakan di atas dan beberapa peperangan yang lain menunjukkan bahawa tiada masalahpun jika bilangan itu kurang kerana kewajipan itu disebutkan jika ia melebihi separuh, sebaliknya jika ia berkurang dan jatuh kewajipan itu bukan bermakna jihad itu tidak diambil kira dan ia bukan perkara yang terhalang meski tentera islam ingin meneruskan perjuangan dengan bilangan yang sedia ada.
2- Seseorang yang ingin berperang perlu ada persediaan rohani, aqidah dan tauhid yang secukupnya sebelum turun ke medan. Peperangan perlu bersistem dengan pemimpin perlu mengangkat panji sebagai tanda. Jika tidak ia tidak dikira sebagai jihad.
Hujah saya: Sejauh mana dia melihat pembangunan dan persediaan tentera Islam di sana. Saya secara jujur juga bukan orang yang paling tahu tentang persediaan mereka. Namun ketika saya berada di Jordan ini, yang mana tragedi ini berlaku disebelah negara ini, saya mendapati sumber-sumber yang sahih berkenaan ketenteraan di Palestin.
Antaranya adalah tentera mereka kebanyakannya adalah orang yang menghafal Al-Quran dan kerap bersolat malam. Ini dari aspek rohani. Dari sudut aqidah, jika benar mereka ini masih lemah dari sudut ini mustahil mereka berani pertaruhkan nyawa untuk membela negara. Namun kerana kekuatan keimananlah mereka sanggup berjuang bermati-matian kerana Allah untuk membebaskan bukan hanya negara sebenarnya tetapi juga membela agama islam melalui Al-Aqsa yang menjadi tunggak utama di sana.
Lihat sirah Khalid AL-Walid. Beliau memeluk Islam pada bulan Safar tahun 8Hijrah tetapi menjadi bukan tentera biasa tetapi panglima tentera Mu’tah pada bulan Jamadilawal tahun yang sama. Tempoh persediaan itu lebih singkat berbanding persediaan yang tentera muslim di Palestin kerana jika dilihat dari sudut hafalan sahaja ia sudah memakan masa.
Peperangan yang bersistem bagi saya dewasa kini, bukanlah peperangan mengangkat panji dan menyerang musuh secara serentak seperti yang berlaku dahulu kerana peperangan era moden menggunakan pelbagai senjata berpeluru yang bisa ditembak dari jarak jauh. Justeru, perlu ada persiapan dan perancangan yang efektif. Juga ia dikira berstrategi meski dalam keadaan sembunyi kerana mengurangkan risiko kecederaan tentera.
3- Rakyat Palestin harus berhijrah dari tanah mereka untuk memelihara nyawa dan keluarga mereka dari tangan yahudi sebagaimana Nabi berhijrah dari tanah lahirnya Mekah ke Madinah.
Hujah saya: Perlu dilihat semula Rasulullah saw berhijrah atas beberapa sebab utama:
i) wahyu dari Allah.
ii) untuk menyelamatkan diri dan orang islam.
iii)ajakan dari Ahlul-Madinah
iv)berusaha mengembangkan dakwah
v)tidak mengusir kaum Quraisy sebab itu sebahagian tanah mereka juga.
Lihat realiti di Palestin kini, wahyu itu sudah tentulah tiada tetapi ia masih boleh menggunapakai ijtihad ulama’ tertakluk kepada membawa kebaikan yang lebih besar. Tambahan, tanah Palestin bukan hak milik yahudi jadi seperti yang dicanang-canangkan tetapi ia milik kaum kan’an. Justeru, seharusnya umat islam terus bergesa untuk membebaskan Palestin dari cengkaman musuh.
Dari satu sudut sebenarnya saya bersetuju untuk orang Palestin berhijrah dari sana berdasarkan beberapa syarat:
i)jika kekurangan kelengkapan dan persediaan (tetapi benarkah mereka di sana kurang bersedia?)
ii)golongan lemah terdiri dari orang tua, wanita dan kanak-kanak.
Adapaun bagi saya orang yang berkemampuan untuk meneruskan perjuangan bagi membebaskan Palestin perlu meneruskan niat murni itu kerana itu adalah medan jihad mereka (dan kita juga sebenarnya cuma bukan korbankan nyawa tetapi apa yang termampu) yang wajib mereka pertahankan. Hal ini kerana Allah berfirman:
Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Anfal: 16)
Berdasarkan ayat ini jelas sebenarnya menunjukkan kepada kita bahawa jika seseorang itu berada dalam medan jihad tidak boleh dia melarikan diri kecuali dalam keadaan yang disebutkan dalam ayat tersebut. Bahkan melarikan diri dari medan pertempuran juga merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar yang disebutkan nabi yang mana juga disebutkan dalam ayat di atas tentang azab yang bakal diterima jika mereka berbuat demikian.
4- Boikot adalah perkara yang tidak realistik kerana tak memberi kesan kepada yahudi. Nabi sendiri bermuamalah dengan yahudi.
Hujah saya: Jika melihat kisah burung yang cuba memadamkan api ketika nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup menggunakan paruh kecil amatlah tidak relevan dari sudut logiknya. Namun perkara ini perlu diberi perhatian kerana yang bakal ditanya bukanlah soal natijahnya tapi apa usaha kita dalam membantu umat islam.
Boikot merupakan senjata yang bisa digunakan kita kerana kita tidak mampu untuk berjuang seperti mereka di sana. Tidak timbul soal memboikot perkara yang halal sebenarnya seperti yang diutarakan. Orang yang memboikot bukan kerana makanan itu haram tetapi di atas sensitivity dan prihatin kepada saudara se-Islam yang ditimpa musibah disana. Saya bagi satu analogi:
Bayangkan ada satu syarikat yang datang merobohkan rumah anda, dan syarikat itu amat dikenali di kawasan anda. Selepas peristiwa itu, jiran-jiran anda tetap menggunakan produk dari syarikat brkenaan. Justeru apa perasaan anda? Sebab itu dalam soal ini pemboikot bagi saya bukan menimbulkan isu halal atau haram tetapi soal sensitiviti.
Namun satu perkara yang perlu kita jaga adalah bagi orang memboikot tidak mempersenda mereka yang tidak berbuat demikian sebaliknya cuba fahamkan tentang kefahaman perlu adanya usaha membantu umat Islam walau sekecil-kecil usaha. Bagi mereka yang tidak boikot pula jangan memperlekehkan usaha mereka yang berbuat demikian kerana sekurang-kurangnya mereka telah berusaha sekadar terdaya.
Berkenaan dengan muamalah nabi dengan yahudi perlu dilihat lebih mendalam yakni, baginda berbuat demikian kerana telahpun ada ikatan janji untuk saling membantu dalam Piagam Madinah. Justeru, dengan keterikatan kepada perjanjian ini kedua-dua pihak perlu berbuat baik antara satu sama lain kecuali ada pihak mencerobohinya.
Kesimpulan
Ada beberapa perkara lagi yang disebutkan cuma saya tidak nyatakan di sini kerana saya tidak berniat memanjangkan perbahasan isu ini kerana apa yang lebih penting bagi kita adalah usaha sedaya mampu melalui bidang masing-masing dan juga seperti yang terdapat dalam gambar di atas .
Adapun saya berkongsi ini juga sekadar pandangan peribadi yang mungkin ada betul dan salahnya. Tetapi saya masih ingin menulis artikel ini kerana saya tidak mahu dengan pandangan yang berbeza ini menyebabkan umat Islam hilang sensitivity terhadap saudara kita di sana.
Ketahuilah perkara ini akan berterusan dan tidak akan ditelan dek zaman, selagi Al-Aqsa tiada dalam genggaman!
sumber: http://langitilahi.com/11121
No comments:
Post a Comment